Dalam perjalanan kosmik seorang lelaki, ada satu bahagian yang mencatatkan segala kegilaan yang pernah dilakukan oleh mahkluk berhalkum ini. Kegilaan ini pula dibahagikan kepada beberapa lagi cabang. Tetapi di sini, aku nak sentuh satu saja cabang. Ada masanya, lelaki akan bertindak di luar kebiasaan dia. Biasanya, trigger kepada benda alah ini adalah perempuan. Aku tak nak cerita arah negatifnya yang korang boleh agak, jadi lebih baik aku cerita arah positifnya. Secara ringkasnya, dalam keadaan terdesak, minda seorang lelaki boleh dikatakan ligat berfikir pada waktu ini. Contoh terdekat yang boleh dilihat adalah situasi sewaktu nak berkahwin. Apa yang makhluk Tuhan yang berbuah dada (atau dalam kata sopannya kaum Hawa) ini tak tahu adalah betapa bijaknya lelaki pada waktu ini mencari cara agar perancangannya kekal berada dalam landasannya. Secara umumnya, pihak wanita memang dengan mudahnya akan meletakkan syarat atau kondisi yang kadangkala tak masuk akal dalam proses rundingan perkahwinan. Tetapi apabila seorang lelaki benar-benar menyayangi atau dalam bahasa jiwangnya mencintai seorang wanita, maka kelecehan itu tak berapa diendahkan. Namun percayalah, dalam masa yang sama, sebenarnya tak tenteram juga dibuatnya. Bayangkan kalau passion bermain futsal pun boleh hilang waktu ini, ibaratnya macam tidur tak basah (kliselah pakai ‘mandi’), makan tak kenyang, atau berak tak puas. Kadangkala, tidur yang dah lebih-lebih lapan jam itu pun dirasakan tak cukup. Melainkan kalau bapa dia Tan Sri something atau mak dia mampu beli cincin bernilai RM24 juta, itu cerita lain. Untuk tak lari daripada topik, biar aku bagi contoh diri sendiri. Dalam banyak-banyak kegilaan, aku rasa ini antara yang paling gila yang mungkin jarang dibuat orang. Oleh kerana dah sayang sangat kat girlfriend aku (atau tunang belum rasmi), maka aku seboleh-bolehnya mahu menghadiahkan dia sebentuk cincin (emas putih lagi, you). Kalau diikutkan darjah kegilaan aku, ada sedikit emosional dan ada sedikit rasional. Bagi orang yang melihat, aku bet korang atau diorang atau sesiapa saja akan menilainya sebagai emosional dan tak rasional, memandangkan aku baru saja mahu memulakan karier dengan gaji yang tak seberapa. Tetapi aku ada sebab tersendiri, yang mungkin lain kali aku cerita atau tak perlu diceritakan langsung. Aku akui, mungkinlah aku ada sedikit emosional dalam hal ini. Tetapi dari perspektif rasional aku, segala-galanya berkait dengan masa. Kerana apa, kerana kita semua sentiasa kesuntukan masa dan tak tahu bila kita akan mati! Jadi, apa salahnya aku buat sedikit ikhtiar (menghadiahkan cincin walaupun belum ada apa-apa ikatan) supaya dia semakin rapat menjadi tulang rusuk kiri aku, di samping tak putus-putus berdoa. Bukannya apa, aku cuma tak mahu menyesal di masa hadapan disebabkan aku tak melakukan satu ‘kegilaan’ di masa kini. Lagipun, ini pertama kali aku rasa betul-betul macam dalam novel, drama atau filem-filem cinta, atau dalam bahasa Jawanya: perasaan cinta yang mendalam (aku sebenarnya tak nak tulis ayat ini sebab rasa macam jiwang sangat). Tetapi kan, dalam hal ini, banyak perkara yang aku belajar sebenarnya. Aku pun banyak belajar daripada dia yang tak putus-putus menyokong aku dan menegur silap aku. Jadi sebagai balasan cinta (ceh, kemaen ayat), aku mahu menjadi tempat dia bergantung, lalu tak payahlah dia terkapai-kapai keseorangan. Jadah, dah kenapa aku bernada melankolik kan? Tak apalah, bagi yang faham apa yang aku merepek maka fahamlah kamu, manakala bagi yang tak faham kamu boleh cuba di hari dan waktu yang lain bila tiba masanya. Tetapi pendek kata, ketahuilah wahai kaum Hawa bahawa lelaki sebenarnya sangat-sangat menyayangi wanita kesayangannya, cuma tak berapa tahu menyatakannya dalam ayat yang tak melebihi 80 patah perkataan. Semoga kegilaan ini dibalas dengan keredhaan-Nya. |
12/24/2012 12:54 AM