<body><script type="text/javascript"> function setAttributeOnload(object, attribute, val) { if(window.addEventListener) { window.addEventListener('load', function(){ object[attribute] = val; }, false); } else { window.attachEvent('onload', function(){ object[attribute] = val; }); } } </script> <div id="navbar-iframe-container"></div> <script type="text/javascript" src="https://apis.google.com/js/platform.js"></script> <script type="text/javascript"> gapi.load("gapi.iframes:gapi.iframes.style.bubble", function() { if (gapi.iframes && gapi.iframes.getContext) { gapi.iframes.getContext().openChild({ url: 'https://www.blogger.com/navbar.g?targetBlogID\x3d6028240087828697096\x26blogName\x3dOrang+Sebelah\x26publishMode\x3dPUBLISH_MODE_BLOGSPOT\x26navbarType\x3dBLUE\x26layoutType\x3dCLASSIC\x26searchRoot\x3dhttps://luriahk.blogspot.com/search\x26blogLocale\x3den\x26v\x3d2\x26homepageUrl\x3dhttp://luriahk.blogspot.com/\x26vt\x3d-3090539190611173158', where: document.getElementById("navbar-iframe-container"), id: "navbar-iframe" }); } }); </script>
 
 
Tuesday, June 12, 2012

Brioche Di Fontaineblea: II

PERBAHASAN mengenai tulang rusuk kiri Adam sering sahaja menjadi satu subjek yang menarik untuk dibincangkan. Penceritaan tentang bagaimana terciptanya Adam banyak diceritakan di dalam al-Quran, misalnya dalam surah al-Baqarah dan al-Imran. Namun, tiada perincian berkenaan penciptaan Hawa. Apa yang sering didengari adalah penciptaan Hawa dari tulang rusuk kiri Adam. Pendapat ini pun berdasarkan kepada hadis-hadis Rasulullah SAW yang kuat umpamanya seperti yang diriwayatkan oleh Bukhari, Muslim dan Tirmidzi. Jika ditanya padaku pula, sudah tentulah aku melihat Hawa itu sebagai tulang rusuk kiriku.

Namun, Hawa bukanlah objek. Perumpamaan tulang rusuk kiri itu bagiku adalah kiasan kepada sifat wanita yang lembut dan perlu dijaga dengan baik. Aku melihat Hawa sebagai pelengkap kepada diriku yang tidak sempurna ini. Tambahan pula, tulang rusuk berperanan sebagai pelindung kepada hati yang lemah. Hawa pula sering sahaja berjaya mententeramkan hatiku yang sering dilitupi kegelisahan. Hidup di tempat orang bukannya mudah sekiranya seseorang itu datang daripada keluarga yang susah. Biasiswa yang aku dapat ini pun sekadar mencukupi untuk keperluan harian. Jadi, mana mungkin aku gunakannya untuk bersuka ria.

“Kenapa awak seperti mahu menjauhkan diri daripada saya semenjak kebelakangan ini? Saya telefon awak, tetapi tiada jawapan, mesej apatah lagi. Apakah saya ada terkasar bahasa dengan awak?” Tanya Hawa pada suatu petang.

Petang itu, aku tidak jadi hendak bermain bola sepak. Semuanya gara-gara tugasan akhir semester yang terlalu banyak sehingga hidup aku menjadi sedikit kabut. Sedang rakan-rakanku yang lain berseronok dengan aktiviti riadah, aku di perpustakaan terpaksa pula mencari bahan-bahan kajian.

“Eh mana ada. Saya cuma sibuk dengan tugasan yang banyak ini,” aku cuba berdalih.

“Adakah kerana saya dari keluarga yang senang maka awak tidak selesa berkawan dengan saya? Saya mendapat tahu menerusi teman serumah awak. Adakah itu benar?” tanya Hawa lagi.

“Ya, inilah sebab saya tidak suka berkawan dengan awak. Anak-anak orang kaya semuanya sama sahaja. Mereka suka memandang rendah kepada kami yang tidak berharta ini. Segala yang mereka mahu, mereka boleh dapat. Selepas itu, mulalah menunjuk-nunjuk!” Tengking aku.

Suaraku yang tinggi itu mengejutkan pelajar-pelajar lain yang sedang menelaah bahan-bahan bacaan. Serentak itu juga, aku dan Hawa diarahkan keluar oleh pustakawan yang bertugas. Sebenarnya bukan niatku mahu meninggikan suara terhadap Hawa. Ini semua terbawa-bawa daripada kejadian pagi tadi. Disebabkan rasa terhina, aku menumbuk Razif atas keceluparan mulutnya itu yang merendah-rendahkan aku dan rakan-rakanku. Mujur sahaja pertelingkahan itu berjaya dileraikan dengan cepat setelah menyedari kehadiran pelajar-pelajar lain. Jika tidak, mungkin aku dan Razif telah dipanggil oleh dekan. Lebih teruk lagi, mungkin boleh digantung pengajian.

“Penilaian awak terhadap saya begitu tidak adil. Saya tidak minta pun dilahirkan dalam keluarga yang senang,” kata-kata Hawa memukul mukaku.

Hawa mula menangis. Aku menjadi serba salah dan menyesal dengan apa yang aku katakan pada Hawa sebentar tadi. Ada benarnya kata-kata Hawa itu. Aku sepatutnya tidak boleh menghakimi seseorang itu berpandukan kepada luarannya. Rasulullah SAW sendiri mempunyai sahabat yang berbilang jenis di mana ramai di antara mereka adalah hartawan. Tetapi, baginda tidak pernah sesekali pun memandang mereka dengan perasaan buruk sangka.

“Maafkan saya. Bukan niat saya mahu menghina awak, Hawa. Mari, kita pergi ke kafe. Saya belanja awak roti brioche. Kesukaan awak, bukan?” Aku cuba memujuk Hawa.

Di kafe itu, aku sedaya upaya memujuk Hawa. Malu memang bukan kepalang. Mana tidaknya, pelajar-pelajar lain asyik menjeling-jeling ke arah aku dan Hawa. Aku lihat ada yang berbisik-bisik, dan ada juga yang ketawa memerhatikan keadaanku di sini.

“Awak tahu, orang-orang yang hebat selalu sahaja pergi dengan cepat?” Aku cuba memulihkan keadaan dengan persoalan yang membuatkan Hawa mula tenang.

“Maksudnya?” balas Hawa ingin tahu.

“Secara peribadi, selain Rasulullah SAW dan sahabat-sahabatnya, saya amat mengagumi tokoh-tokoh moden seperti John Lennon dan Malcolm X. Mereka mempunyai pendirian dan falsafah hidup yang kuat. Tetapi sayang, mereka tidak hidup lama kerana mati dibunuh oleh orang-orang yang tidak sukakan mereka,” jelasku panjang lebar.

Hawa mendengar sahaja penjelasanku dengan khusyuk sekali. Rasa ingin tahunya itu jelas terpancar pada wajahnya yang cantik, ibarat puspa yang riang diselimuti cahaya mentari. Benar sekali, aku sangat mengagumi kedua-dua tokoh tersebut. John Lennon umpamanya sangat berpengaruh dalam dunia muzik. Beliau datang daripada keluarga yang kacau-bilau, namun masih mampu menggenggam dunia dengan bakat muziknya itu. Menerusi muziknya, falsafah-falsafah hidup turut diselitkan sekali dengan baik sehingga aku menjadi cukup kagum dengannya. Ini adalah antara pemangkin kepada usaha aku menyambung pelajaran dalam jurusan ekonomi. Aku juga turut mahu mengubah dunia, tetapi dalam bidang yang berlainan.

“Suatu hari John Lennon ditanya oleh gurunya tentang apa yang mahu dicapainya apabila beliau meningkat dewasa, dan beliau menjawab, ‘Kebahagiaan.’ Gurunya berkata, ‘Kamu tidak memahami soalan.’ Tetapi beliau pantas menjawab, ‘Jika begitu, cikgu yang tidak memahami apa itu kehidupan.’ Jawapan inilah yang membuatkan saya kagum terhadapnya,” terangku lagi.

“Saya juga mahu itu!” Hawa yang dari tadi duduk diam mendengar mula bersuara dengan senyuman yang terukir di bibir.

Semenjak pertemuan di kafe itu, aku mula membuka hati kepada Hawa. Aku juga mula mengawal tingkah lakuku terhadap Razif dengan cara yang lebih berhemah. Biarlah Razif dengan perangainya itu. Apa yang penting, aku dapat kembali berjalan di bawah falsafah yang aku pegang sebelum ini setelah disedarkan oleh Hawa. Hawa pula ternyata bukan sebarangan gadis. Hawa bukanlah seperti anak orang kaya yang sering dipaparkan dalam drama-drama Melayu di kaca televisyen, yang sering menggunakan harta ibu bapanya untuk kesenangannya. Menerusi perbualan di kafe tersebut, tahulah aku bahawa Hawa sudah tidak mempunyai ibu lagi kerana telah meninggal dunia akibat kanser hati. Oleh kerana itulah Hawa menyambung pelajaran dalam bidang perubatan supaya dapat membantu pesakit-pesakit yang senasib dengan ibunya tidak kiralah orang itu kaya ataupun miskin.

Hidupku mula berubah sedikit demi sedikit. Aku melihat Hawa bukan sekadar teman, tetapi lebih daripada itu. Bagi aku, Hawa inilah tulang rusuk kiriku yang hilang itu sekiranya mahu bercerita tentang soal hidup dan mati. Walaupun perihal tulang rusuk kiri ini sekadar kiasan sahaja, namun aku yakin bahawa setiap pertemuan itu pasti ada sebabnya. Allah sendiri tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum itu melainkan mereka mengubahnya dahulu. Disebabkan itu, aku bersetuju dengan perumpamaan kehidupan yang disamakan dengan sekotak cokelat, sebagaimana yang dijelaskan dalam filem Forrest Gump; cokelat tidak selalunya manis, adakalanya rasanya sedikit pahit.

“Awak tahu, bukan mudah untuk menghasilkan brioche ini. Banyak bahan yang perlu digunakan untuk menghasilkan brioche yang enak seperti telur, mentega, susu, gula dan lain-lain lagi. Ini sama juga seperti pengorbanan ibu bapa. Mereka berusaha menjadikan kita insan yang baik budi pekerti melalui penat lelah dan wang ringgit mereka. Jadi, kita perlu membuat mereka tersenyum dengan menunjukkan kepada mereka yang kita mampu berjaya.”

Aku yang mendengar kata-kata Hawa itu hanya mampu menangis. Air mataku bagaikan titisan hujan yang tidak mampu disekat lagi. Ayahku telah menghembuskan nafas terakhirnya sehari yang lalu. Padahal sebelumnya, aku sempat berborak-borak dengan ayah di telefon sehingga ketawa terbahak-bahak mengenangkan gurauan ayah yang lucu itu. Kini ayah sudah tidak dapat melihatku berjaya nanti, apatah lagilah menyaksikan bakal menantunya yang sering diajunya. Saat ini, aku hanya mampu menelan sahaja brioche pemberian Hawa yang sama-sama menangisi pemergian ayahku.

SEKIAN
8:30 AM
0 KATA HATI
[ 0 ] PENDAPAT

Post a Comment

1. Sebarang kenyataan biadab adalah dilarang.
2. Sebarang bentuk spams akan dipadam serta-merta.
3. Jadilah manusia yang berakal dan berhemah.

 


Sila klik gambar di
atas untuk mengikuti
(FOLLOW) blog ini.
Aayatt Yatty
Absa Yusoff
Adibahrisha
Aeen Amoy
Ahmad Shazali
Aiman Baharom
Amalina
Amir Aizat
Amir Munshi
An Ixora
AnnMoee
Aran Crikwong
Aroma Minda
Azman Naim
Baha Deen
Diyana
Echa
El Farra
Eryn
Fatin Razali
Hazari
Hazriq Arjuna
Huda Lulu
Hunny
Irshad
Katun
Khaleeqa
Maisarah
Mira Edora
Miss Ayu
N. Faizal Ghazali
Nadia Adnan
Nadzirah Idris
Nadzirah Yahya
Najla
Namie Latif
Norraien
Nuradilah Alihabshi
Nuralisya
Raizah
Razfira
Redsya
Sareeza
Shakinah
Sharpex
Sherah
Suria Saffa
Syamira Ismail
Syanad
Syaziela
Taufik Jusoh
Wafiqah
Yusrizam
Zulaikha Zulbahari
ZuRied
Abah Mui'zz
AdiFitri (Bohrtaag)
Aifaarina Honey
AkuKopi
Amir Muhammad
Aqish Basir
Bart Ahmad
Ben Ashaari
Ben Youssef
Chokilala
Darkk AvaKadabra
Dila Raden
Diloz
Eyka Hamasuba
Fadhli Hamdan
Fahmy (Amykamen555)
Faisal Tehrani
Fakhrul Anour
Faliq Fahmie
Fatin Liyana
Fynn Jamal
Hafiz Shinchan
Izmil Amri
Jamian Jaharudin
Jenjibam
Jimadie Shah
Keni Johansjah
Ladynoe
Mantot (Cursing Malay)
Nazim Masnawi
Nazri M. Annuar
Pipiyapong
Pjoe
Razaisyam Stradust
Saharil Hasrin Sanin
Saifulislam
Sokernet
Sue Anna Joe
Syafiq Azuan
Tok Rimau
Trankuiliti Tronoh
Zahir Lunatik