Selagi hayat masih di kandung badan, adakah kamu mengetahui untuk apa kamu hidup? Pernahkah kamu terfikir tentang bagaimana kamu yang sekarang akan menjadikan kamu yang di masa hadapan? Aku pernah, dan masih memikirkannya. Setiap kali menjangkau tahun baru, perkara pertama yang aku risaukan adalah umur. Aku tahu bahawa manusia akan menjadi tua setiap masa. Akan tetapi, apa yang merisaukan aku adalah berkenaan dengan bagaimana aku menghabiskan masa tersebut. Semestinya, masa tidak boleh dikembalikan. Jadi, aku sentiasa berfikir bagaimana untuk menggunakan masa yang masih ada untuk mencapai apa yang aku mahukan. Di kala umur sudah mencapai 30 tahun, masih relevankah aku mengumpul komik? Jawapan tersebut terletak pada pandangan masing-masing. Aku masih boleh mengatakan bahawa ianya relevan, tetapi untuk sesetengah perkara yang lain akan mungkin kelihatan tidak relevan. Oleh itu, ianya kadangkala agak mencemaskan aku kerana masa tidak akan sesekali menunggu, dan kesannya, beberapa perkara yang mahu aku lakukan terpaksa dilupakan atau mungkin ditangguhkan. Aku melihat ramai orang yang suka berbangga dengan kekayaan yang dimiliki sungguhpun ianya bukan datang daripada dirinya sendiri. Kekayaan hasil titik peluh ibu bapa hanya mampu dibazirkan dan ditunjuk-tunjuk. Untuk apa? Dia, kalau sekali mahu menarik nikmat tersebut, pada bila-bila masa boleh dilakukan-Nya. Tetapi, kasih-Nya yang hebat itu membuatkan manusia sering diberikan peluang. Peluang tersebut pula datang dalam pelbagai bentuk dan manusia itu seharusnya mampu menyedarinya. Aku menyedari bahawa diri sendiri juga banyak kekurangannya. Dengan itu, inilah caranya aku bermuhasabah diri kerana Izrail boleh datang pada bila-bila masa sahaja. Dan seperti kata Julian Casablancas, “You Only Live Once”. Akhir kata, ketuk-ketuk kepala dan ingat-ingatkannya. |
Post a Comment
1. Sebarang kenyataan biadab adalah dilarang.
2. Sebarang bentuk spams akan dipadam serta-merta.
3. Jadilah manusia yang berakal dan berhemah.