Sejak akhir-akhir ni, aku seperti sudah malas hendak melayan dunia blog. Jadi, sebab itu korang lihat blog aku semakin kosong. Agaknya, tahap klimaks aku melayan dunia blog ni sudah kembali semula. Biasalah, perkara ni pun macam roda jugak: sekejap di atas dan sekejap di bawah. Tambahan pula, bukannya ramai pun yang tahu dan baca blog ini. Berbalik kepada posting kali ini, ideanya datang sudah lama cuma aku baru teringat nak menulis tentangnya beberapa ketika yang lalu. Dulu, semasa aku duduk di rumah sewa, ada seorang housemate aku yang banyak menyimpan video-video lagu Bollywood. Jadi, kalau aku bosan nak melayan video-video lagu Barat ataupun Jepun yang memang berlambak kat dalam PC aku (setakat yang berjaya diselamatkan adalah hampir 1000 buah video), aku akan melayan pula video-video lagu Bollywood ni kat PC beliau. Apa yang bestnya, ia telah mengembalikan kenangan aku waktu mula-mula dipengaruhi oleh kawan baik aku supaya menonton filem-filem Bollywood ni. Kini pun, roommate aku turut sama memasang video-video lagu tersebut pada satu-satu masa dan ini membuatkan aku terfikir bahawa masih kuat lagi pengaruh Bollywood di kalangan orang Melayu rupanya. Kalau aku ditanya siapa pelakon Bollywood zaman kini yang aku minati, sumpah aku tak kenal dengan pelakon-pelakon baru masa kini. Jika diberikan pengecualian, satu-satunya pelakon Bollywood yang aku minati (mungkin sampai kini) ialah Shah Rukh Khan (SRK). Istimewanya SRK ni adalah kerana lakonannya yang begitu memukau lebih-lebih lagi dalam menjayakan babak-babak melankolik. Damnlah aku cakap, memang ego aku pun boleh jatuh. Filem Bollywood pertama yang aku tontoni pun adalah filem beliau iaitu Kuch Kuch Hota Hai setelah dipujuk berulang kali oleh kawan baik aku ni supaya menontonnya (aku menontonnya pada tahun 1998). Kata kawan baik aku waktu itu, sesiapa yang menontonnya mesti akan sedih (dan menangis?) dan dia mencabar aku menontonnya. Dan ternyata filem ini memanglah mengharukan dan waktu itu aku mengaku bahawa aku jugak hampir menangis. Tapi, oleh kerana aku jenis yang sukar menitiskan air mata walaupun sedih (perasaan saja membuak-buak kesedihan), jadi kira berjaya jugak la aku tidak menangis (kali terakhir aku menangis adalah pada waktu arwah datuk kesayangan aku meninggal dunia 3 tahun lepas). Apa yang aku ingat, kegilaan aku melayan dunia Bollywood ni (setelah diperkenalkan oleh kawan baik aku) bertahan selama tiga tahun setengah bermula tahun 1998. Kalau korang pergi melawat rumah aku, jangan peliklah kalau terlihat himpunan VCD filem-filem Bollywood yang bersepah tu. Memang diakui, aku yang beli 90% daripadanya waktu itu (kalah emak aku). Dan VCD terakhir yang aku beli adalah Kabhi Khushi Kabhie Gham kerana keterujaan aku melihat gandingan semula SRK dengan Kajol. Apabila Jepun menyerang Malaya dengan drama-dramanya, kegilaan aku pada dunia Bollywood terus hilang dan digantikan dengan kegilaan aku pada dunia Jepun pula. Jika ditolak drama Oshin yang pernah ditonton waktu aku kanak-kanak dulu (drama yang membosankan pada aku sampai sekarang), aku kira drama News no Onna atau Anchor Woman yang ditayangkan di TV3 (sekitar tahun 2001) boleh dikatakan drama Jepun pertama yang aku tontoni. Drama Jepun inilah yang telah membuatkan aku beralih arah daripada dunia Bollywood ke dunia Jepun dan membuatkan duit aku terbakar dengan pembelian VCD atau DVD drama-drama tersebut sehingga kini. Apa-apa pun, aku kira pengaruh dunia Bollywood ke atas aku masih ada cuma tidak sehebat pada waktu aku “muda-muda” dahulu. |
Post a Comment
1. Sebarang kenyataan biadab adalah dilarang.
2. Sebarang bentuk spams akan dipadam serta-merta.
3. Jadilah manusia yang berakal dan berhemah.