Aku tak tahu kenapa boleh jadi begini. Biasanya, apabila ada jalan yang mudah di hadapan, aku akan cenderung untuk mengikut jalan yang jauh. Katalah ada jalan shortcut untuk ke Kedai A, kebiasaannya aku akan memilih jalan yang biasa atau lebih jauh untuk ke kedai tersebut. Ini sama halnya dengan keadaan aku sekarang. Sepatutnya, dalam umur begini aku sudah bekerja. Bagaimanapun, aku masih lagi seorang pelajar di sebuah IPTA (Institusi Pengajian Tinggi Awam) yang kini banyak masa terluangnya meskipun tuntutan belajar acap kali menarik aku. Apa-apa pun, aku tak menyalahkan takdir kerana ia adalah kesan daripada aku yang dahulu itu. Sebagai rekod, rasanya aku mungkin antara rakyat Malaysia yang mempunyai sijil pelajaran yang banyak. Antaranya selain Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR) serta Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ialah Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM), diploma (Diploma in Economics), dan kini dalam usaha mendakap sekeping kertas yang digelar ijazah. Damn, lepas ini pun aku bercadang nak meneruskannya lagi ke tahap yang lebih tinggi, cuma mungkin setelah bekerja terlebih dahulu. Aku tahu ramai yang hairan dengan STPM yang aku ada itu walaupun aku juga mempunyai diploma. Seperti yang aku katakan mula-mula tadi, aku seperti terjerumus untuk mengikut jalan yang lebih jauh meskipun jalan terdekat ada di depan mata. Apa yang pasti, kelalaian pada waktu itulah yang telah menjadikan diri aku yang sekarang ini bak kata orang: “tiada yang dulu, maka tiadalah yang sekarang”. Bagaimanapun, tak semua jalan yang jauh itu disebabkan oleh kelalaian aku. Kadangkala, memang aku sendiri yang mahukannya begitu kerana dalam satu-satu perkara, ianya agak mencabar. Sebagai contoh, dalam hal Adobe Photoshop, jalan yang mudah untuk mereka suatu efek pada gambar adalah melalui pencarian tutorial di Google. Namun begitu, aku lebih cenderung untuk menggunakan cara yang jauh iaitu melalui eksperimen sendiri dan hasilnya tidaklah jauh berbeza walaupun mungkin tidak sebaik hasil tutorial. Akhir kata, bagi aku, tak kisahlah sama ada jalan itu jauh atau dekat. Apa yang penting, matlamat akhirnya mampu dicapai. Cuma, apa yang aku harapkan adalah ianya tidak akan terlalu lewat untuk dicapai (seperti berkahwin?) kerana terlalu banyak perkara dalam hidup yang harus diselesaikan. |
Post a Comment
1. Sebarang kenyataan biadab adalah dilarang.
2. Sebarang bentuk spams akan dipadam serta-merta.
3. Jadilah manusia yang berakal dan berhemah.