Berulang-ulang kali aku mendengar lagu Hidup Ini Indah yang dinyanyikan oleh band favourite aku iaitu Dewa (juga Dewa 19). Istimewanya lagu-lagu Dewa bagi aku disebabkan oleh lirik-liriknya yang begitu puitis di samping melodinya sendiri. Setiap kali mendengar lagu Hidup Ini Indah, fikiran aku selalunya melayang entah ke mana. Aku halusi bait-bait liriknya, dan aku berfikir alangkah baiknya jika hidup aku sebegitu indah. Aku kerap kali mendengar orang yang suka merintih tentang hidup. Kalau pernah tengok filem Forest Gump, pasti ingat satu ayat ini: "Life is like a box of chocolates". Walaupun aku sendiri belum pernah menonton filem ini, tetapi aku cukup memahami makna ayat itu. Dalam hidup, pastilah ada sedih dan pasti juga ada saat-saat gembira. Seperti juga cokelat, rasanya kadang-kadang pahit walaupun pada dasarnya ianya manis. Apabila sedih, menangis sahajalah. Tidak perlu ditahan-tahan. Apabila gembira, maka kongsilah dengan orang lain. Seperti salah satu lirik lagu Dewa, "Menangislah bila harus menangis, kerna kita semua manusia." Aku juga manusia biasa seperti kalian semua, yang menangis bila sedih dan tersenyum atau ketawa bila gembira. Ramai member aku, dan mungkin juga orang lain yang pelik dengan aku. Ada member yang cakap aku ini agak unik, ada juga yang kata pelik. Tak kisahlah, aku pun kadang-kadang berfikiran sedemikian juga. Aku pun kadang-kadang tak faham dengan diri aku sendiri, apa yang aku mahu aku sendiri pun kadang kala tak pasti. Tetapi kalau bukan kita sendiri yang sepatutnya memahami diri sendiri, siapa lagi bukan? Hanya kita dan Tuhan yang lebih memahami diri sendiri berbanding dengan orang di sekeliling kita. Cakap tentang life ini juga, aku sebenarnya banyak belajar dari sekeliling aku. Tidak kira orang yang aku kenal ataupun tidak. Drama Jepun juga banyak mempengaruhi hidup aku. Walaupun budaya jelas berbeza, tetapi nilai-nilai kehidupan itu sendiri tidaklah begitu berbeza. Yang baik tetap baik, dan yang buruk tetap buruk. Drama Jepun ini daripada apa yang aku perhatikan bukanlah 100% bertemakan cinta seperti apa yang ramai orang sangkakan. Mungkinlah drama Korea sebegitu, tetapi drama Jepun sebenarnya lebih mendekatkan kita tentang realiti kehidupan masyarakat mereka itu sendiri. Tidak hairanlah kalau aku berasa agak terharu apabila menonton drama-drama Jepun, dan tidak hairan juga jika aku banyak mengumpul drama-drama Jepun. Kalau hendak dibandingkan dengan drama Melayu kita, aku rasa amat kurang drama yang betul-betul menyentuh hati aku. Aku juga pernah terasa amat sedih dalam hidup aku. Hal yang membuatkan aku hampir putus asa untuk meneruskan hidup. Tidak, bukannya bermaksud aku mahu membunuh diri! Tetapi apabila difikirkan sampai bila mahu bersedih, aku teringat satu ayat ini yang betul-betul membangkitkan semangat aku semula untuk terus hidup. Kata-kata daripada seorang yang amat aku kagumi tetapi telah tiada. "Jika kita fikir bahawa sesuatu perkara itu amat susah untuk dilakukan maka pasti ianya amat susah. Tetapi jika kita fikir bahawa kita mampu melakukannya, Insya'-Allah kita mampu." Jadi apabila difikirkan semula, begitulah hidup. Kadang kala manis dan kadang kala pahit. Yang penting, kita harus tahu bagaimana untuk meneruskan hidup walaupun ianya tidak sesempurna seperti yang kita inginkan. ____________________
Pos asal: 1 Mac 2006, www.myspace.com/luriahk |
Post a Comment
1. Sebarang kenyataan biadab adalah dilarang.
2. Sebarang bentuk spams akan dipadam serta-merta.
3. Jadilah manusia yang berakal dan berhemah.