Sedang aku leka dibuai oleh alunan lagu Tiada Lagi Aku oleh Rusty Blade, Adnan datang menghampiriku. Dari raut wajahnya itu, nampak seperti ada masalah. Agak aku, mesti bergaduh dengan girlfriend dialah itu. Air teh tarik yang aku pesan pun dah hampir setengah jam menyejuk, gara-gara menunggu anak Dato’ ini. Biasalah, janji Melayu memang begitu. “Lambatnya kau ni. Nasib baik aku ni sidekick kau, kalau tak dah lama aku blah tadi,” keluh aku. “Sorry bro, aku nak bagi alasan traffic jam pun memang tak logiklah kan waktu-waktu macam ni. Tapi pokok pangkalnya sorrylah lambat, ada hal sikit tadi,” balas Adnan tersengih. “So apa cerita? Macam gaduh dengan Maya je?” Aku cuba mengagak. “Tak rugi aku lantik kau jadi sidekick terhormat aku. Kalau ni program Who Wants To Be A Millionaire, RM1000 dah dalam tangan,” balas Adnan tergelak. “Aik, RM1000? Mahal tu. RM100 sudah,” gurau aku. “Amboi, murahnya. Mahal tau kisah hidup aku. Kalau dibuat drama, gerenti kalah Tentang Dhia tu,” kata Adnan sambil melambai-lambaikan tangan ke arah pekerja mamak. “Tapi masalahnya sekarang bukan aku, kau sebenarnya ni,” sambung Adnan lagi. Aku memandang Adnan. Dari riak wajahnya, lain macam saja seriusnya. Aku cuba mengagak apa yang dimaksudkannya, tapi gagal. Nampak sangat aku perlu belajar 'membaca orang' dengan lebih banyak lagi, macam Patrick Jane dalam siri The Mentalist itu
“Aik kenapa aku pulak? Aku okay je,” aku cuba menafikan kata-kata Adnan sebentar tadi walaupun ada benarnya. Adnan mula menyandar sambil membuat gaya analisis Sherlock Holmes, konon-kononnyalah. Entah apa kejadah semenjak akhir-akhir ini, suka sangat Adnan meniru gaya Sherlock Holmes. Apa dia ingat dia macholah buat gaya macam itu? Oh tapi memang dia macho pun. Kalau tak, mana mungkin Maya jadi angau dengan si Adnan ini. Sebab apa aku kata begitu? Tentulah sebab aku juga pernah test usha Maya. Tapi kalau dah nama pun angau, aku keluar segala ayat-ayat cinta yang aku copy paste daripada filem pun dah tak jalan. Nampak benar filem banyak menipu. “Kau tu, ‘bajet’ buat-buat cool, aku tak tahulah apa masalah kau? Masih lagi angau dengan Iffa ke ni?” Tekaan Adnan sungguh padu, macam rembatan Safee Sali ke arah pintu gol. “Angau tu taklah. Jatuh hati, ya. Tapi macam biasa, setiap gadis yang buat aku jatuh hati semuanya dah jadi girlfriend oranglah, tunang oranglah dan yang paling bangsat sekali bini orang. Why always me?” balas aku sambil menunjukkan gaya Mario Balotelli selepas membantu pasukannya membelasah kelab bola sepak paling overrated di dunia. “Habis tu, macam mana? Cari jelah perempuan lain. Ramai kot perempuan sekarang berbanding lelaki,” cadang Adnan yang memang bernas, tapi macam ayat klise dalam drama-drama Melayu. “Ya memanglah ramai. Tapi like I said before, setiap kali hati aku baru nak ditanam bunga, ada saja yang dah pijak. Tak sempat nak tumbuh, dah mati pula. Lagipun dalam market sekarang, aku dapat saingan daripada pengkid jugak, kau tau?” Aku cuba bermain dengan metafora. Entah Adnan faham atau tak, nasib dialah. Tapi orang seni macam dia, takkanlah metafora mudah macam itu pun tak tahu. Kalau bukan pasal teater dulu, tak adalah aku jadi ngam dengan Adnan walaupun aku bukan budak teater. Aku lebih minat fotografi yang ada 'bau-bau bacang' dengan seni juga. “Aku kenalkan kau dengan someone daripada budak-budak teater aku nak?” Tanya Adnan sambil membelek-belek handphonenya tanda dia serius. “Nanti dululah. Aku nak tunggu lagi. Manalah tau ada chance lagi,” balas aku ringkas. “Right, tapi jangan tunggu lama-lama. Perhatilah jugak orang sekeliling tu, manalah tau yang dicari sebenarnya dah ada depan mata,” ujar Adnan tersenyum. Aku yang mendengar kata-kata Adnan itu turut tersenyum. Aku tahu Adnan bermaksudkan Nurul. Tapi memang dah perangai aku, kalau dah suka, aku akan tunggu sampailah benar-benar tak ada harapan. Cuma masalahnya sekarang, aku belum punya kesempatan nak meluahkan perkataan-perkataan yang kaum Adam paling susah nak cakap kepada Iffa. Ringkasnya begini, ‘ditelan mati emak, diluahkan mati bapa’. Memanglah aku nak sangat Iffa tahu perasaan aku kepadanya, tapi dalam masa yang sama juga, bukanlah prinsip aku mengganggu hubungan orang lain. Jadi pada akhirnya, aku hanya boleh menunggu peluang sambil mencari yang lain bak kata Adnan. |
Post a Comment
1. Sebarang kenyataan biadab adalah dilarang.
2. Sebarang bentuk spams akan dipadam serta-merta.
3. Jadilah manusia yang berakal dan berhemah.