Untuk ruangan bola sepak kali ini, aku sebagai peminat setia Chelsea semenjak kecil dan belum famous ketika itu (saja nak perli orang yang support pasukan yang dah glamour) ingin memperkenalkan kepada korang prospek masa depan terhangat The Blues. Anak muda yang bernama Josh McEachran ini adalah jawapan Chelsea kepada bintang Arsenal bernama Jack Wilshere. Ini kerana Josh bermain dalam posisi yang hampir sama dengan Jack iaitu central midfielder atau attacking midfielder. Media British memberikan coverage yang sangat bagus terhadap Josh disebabkan mutu permainannya yang berkelas dunia walaupun masih muda. Ini adalah tak menghairankan kerana idola utama beliau adalah Zinedine Zidane, Frank Lampard dan Andres Iniesta. Justeru itu, ada segelintir jurnalis sukan British melabelkan beliau sebagai Messi Chelsea atau Messi England (atas faktor kaki kiri). Namun begitu, jika dilihat betul-betul permainannya, gaya beliau lebih mirip kepada gaya Zidane. Korang boleh memerhatikan bagaimana cara beliau menerima bola dan kemudian membuat hantaran bola yang mirip kepada gaya idolanya itu. Bukan itu saja, beliau mempunyai kawalan bola yang sangat bagus dan mampu menggelecek. Apa yang paling penting di sini, beliau sangat bagus dalam membuat through pass sama seperti idola-idolanya itu. Dalam masa yang sama, beliau sangat kreatif dalam mengawal keadaan tengah pasukan dan bijak membaca permainan. Kebolehan beliau ini membolehkan ruang pertahanan lawan dapat dibuka dan boleh dipecahkan seperti yang dibuktikannya dalam beberapa perlawanan (korang tengok sendiri dekat YouTube). Bakat beliau ini mula mendapat perhatian bekas pengurus Chelsea yang lalu iaitu Luiz Felipe Scolari yang kemudian memanggilnya untuk berlatih bersama pasukan utama. Ini memberikan lebih pendedahan kepada beliau dalam meningkatkan lagi mutu permainannya. Oleh itu, sesuai dengan perkembangannya, beliau ditarik pula Carlo Ancelotti ke dalam skuad utama Chelsea musim lalu walaupun sebagai pemain simpanan dan hanya diturunkan beberapa kali saja. Namun begitu, keupayaan beliau menyerap tekanan bermain dalam Liga Inggeris dan Liga Juara-Juara UEFA dengan baik di samping menunjukkan persembahan yang menarik telah membuka mata ramai pihak. Justeru itu, ramai yang menjangkakan dan berharap bahawa beliau bersama-sama Jack Wilshere nanti mampu membentuk satu gandingan yang mantap di tengah pasukan England. Ini samalah seperti gandingan Xavi dan Andres Iniesta bagi pasukan Sepanyol yang sangat mantap dan mempunyai persefahaman yang tinggi di antara kedua-duanya. Apa yang lebih menarik, Josh dan Jack merupakan sahabat yang sentiasa berhubungan sepanjang masa. Dengan itu, adalah menarik untuk menyaksikan mereka berdua bermain dalam satu pasukan yang sama nanti iaitu England. Kombinasi mereka berdua mungkin membolehkan permainan pasukan England lebih menarik di masa hadapan. Apa sekali pun, perjalanannya masih jauh dan beliau juga harus bersaing dengan idolanya sendiri iaitu Lampard. Apa yang aku harapkan, Andre Villas-Boas tidak meletakkan beliau sebagai holding midfielder sebagaimana yang sering dilakukan oleh Carlo Ancelotti sebelumnya. Bagi aku, posisi naturalnya yang menyerang itu lebih berkesan terhadap pasukan Chelsea yang dah makin perlahan dan membosankan seperti ditunjukkan musim lalu. |
8/01/2011 10:18 AM