Rembulan sangat riang, begitu juga terangnya bintang. Seakan memujuk jiwa-jiwa yang hilang. Aku di sini hanya duduk mengelamun jauh, dalam ketakjuban melihat kebesaran Tuhan. Jika begini tenang keadaannya, mahu sahaja aku didodoi keenakan sepanjang masa. Tetapi tanggungjawab masih banyak, mana boleh dilupakan begitu sahaja. Bulan Januari mahu tiba, meninggalkan Disember termangu-mangu dihimpit kekalutan. Biasalah akhir tahun, kerja memang berlambak. Semuanya perlu diselesaikan dan diuruskan sebelum peperiksaan akhir semester dijalankan. Jadi, pantang ada masa sedikit, mulalah aku mengelamun memikirkan itu dan ini, terutamanya perihal kedatangan bulan baru. “Susahlah, ayah. Sebab itu keputusan peperiksaan abang teruk.” Aku hanya mampu mengeluh ketika ditanya oleh ayah tentang keputusan peperiksaan yang teruk. Sebenarnya itu hanya alasan mudah aku. Apabila difikirkan semula, bukannya susah sangat pun, cuma aku sendiri yang memang tidak rajin mengulang kajinya. “Macam mana tak susah kalau kau sendiri yang fikir ianya begitu. Jika kita fikir kita boleh buat, seribu jalan Allah akan bentangkan di hadapan,” ayah menegurku. Teguran dan nasihat seperti ini sering kali aku terima daripada ayah. Nama pun ayah, jadi mana mungkin dia tidak faham feel anak-anaknya. Ayah pun pernah juga mengalami situasi seperti aku, maka melalui pengalamannya dia sentiasa memberikan sokongan yang tidak berbelah bahagi kepadaku. Walaupun kadangkala ayah sangat marah padaku kerana perangaiku yang nakal ini, namun dia masih lagi berhemah dalam tegasnya itu. Sampai pada satu-satu tahap, aku dapat merasakan bahawa aku terlalu bergantung kepada ayahku dalam banyak perkara. “Cepat, satu uban seringgit. Kalau dapat 10 helai, dah dapat RM10 kan?” Begitulah ayah kalau mahu memberikan upah. “RM10 sahaja? Kalau macam itu, abang nak cabut lebihlah,” ujar aku pula. “Suka hati kaulah, yang penting uban itu kasi cabut betul-betul,” balas ayah lagi. Aku selalu sahaja berebut-rebut dengan adik-adikku. RM10 pada waktu itu sangat besar nilainya. Pada zaman di mana telefon bimbit belum menjadi satu keperluan, apa yang banyak aku lakukan ketika itu adalah menghabiskan duit di kedai-kedai siber. Permainan komputer seperti Counter Strike sangat mengkhayalkan sehingga pernah aku diserbu dan dimarahi ayahku kerana melangkaui waktu Maghrib. Ayah sebenarnya adalah seorang yang penyayang dan baik hati. Ayah akan membantu sesiapa sahaja yang memerlukan pertolongannya. Ramai juga anak-anak kampung yang meminta ayah menjadi penjamin mereka saat mahu melanjutkan pelajaran di luar negeri. Ayah pula tidak pernah menolak selagi mampu memberikan bantuan. Ini kerana ayah sangat memahami kesusahan tersebut memandangkan ayah sendiri dahulunya datang daripada keluarga yang susah. Ayah sendiri pernah mengalami saat-saat yang sukar apabila ketua kampungnya tidak mahu mengeluarkan surat jaminan ketika ayah sangat memerlukannya untuk menyambung pelajaran di luar negeri. “Kau hidup kena selalu bersyukur. Ingat Allah selalu walau bagaimana sekalipun keadaan yang kau hadapi. Kita hidup pun bukannya lama.” Nasihat begini sentiasa membuatkan mukaku terpukul. Keluargaku boleh dikatakan senang, dan aku boleh sahaja menjadi seperti anak-anak Dato’ dengan limpahan kemewahan. Tetapi ayah tidak suka begitu. Ayah lebih senang jika keluarganya dibina dengan asas sederhana, yang sentiasa mensyukuri apa yang ada. Ayah pernah berkata bahawa kekayaan yang melimpah ruah tidak akan ke mana kalau kita nanti menjadi riak dan takbur. Disebabkan itu, ayah sangat gembira setiap kali melihat aku melibatkan diri dalam kegiatan-kegiatan yang menjurus kepada agama. Misalnya, nasyid. Namun, pengalaman-pengalaman ini tidak mungkin lagi akan berulang. Ayah tidak lagi kuat seperti dahulu. Badan ayah sering sahaja lemah, dan dia selalu tidur dalam keadaan duduk. Ini semua gara-gara orang yang cemburu dengan ayah. Habis ilmu hitam digunakan terhadap ayah. Meskipun ayah dapat membuangnya setelah mendapatkan bantuan guru-guru agama, namun kesihatan ayah belum sempat pulih sepenuhnya. Akhirnya datanglah Januari, membawa sekali ayah bersama-samanya meninggalkan aku. Aku lihat wajah ayah sangat tenang, tersenyum bagaikan ada cahaya yang memancar. Dan kini ketika Januari mula melambai, aku menjadi sedu. Suasana di sekelilingku dirasakan sangat melankolik. Gelak tawa yang aku keluarkan hanyalah topeng semata-mata. Di dalam hatiku, tangisnya tidak kedengaran. Aku benci keadaan ini, aku benci Januari! |
12/14/2011 6:04 PM