Untuk mempelajari atau mengetahui sesuatu perkara, persoalan “kenapa” adalah penting untuk ditanya. Tidak sekadar anak-anak kecil, aku berpendapat bahawa orang dewasa mahupun remaja juga tidak terkecuali daripada bertanya atau tertanya-tanya tentang pelbagai hal. Sebelum ini, aku ada menulis tentang sebuah drama Jepun yang bertajuk Voice (ternyata drama ini sungguh menarik!) dan kali ini aku kumpulkan beberapa persoalan yang diutarakan oleh watak utamanya (babak yang memang kelakar) di mana ianya agak remeh kadangkalanya tetapi sebenarnya membuatkan aku juga terfikir tentangnya. - Kenapa kamu mengasah kedua-dua hujung pensel?
Rakannya menjawab: "Ini adalah kerana ianya akan memudahkan kamu menulis lagi jika satu bahagian pensel tumpul atau patah." Ironinya, aku juga pernah mengasah kedua-dua belah bahagian pensel sewaktu zaman persekolahan dulu kerana aku jarang menggunakan pensel "tekan-tekan" (technical pencil) ketika itu.
- Kenapa kamu menggunakan ringtone begitu (bunyi bola ping pong)?
Rakannya menjawab: "Ini kerana aku ahli kelab ping pong. Tambahan pula, ramai orang yang menggunakan ringtone berbeza untuk orang yang berlainan." Bagi aku pula, aku lebih senang menggunakan satu ringtone untuk semua orang. Dengan itu, aku bersetuju dengan watak utamanya yang beranggapan bahawa adalah lebih memudahkan jika satu ringtone digunakan untuk semua orang di dalam bookmark.
- Kenapa kamu merakam gambar yang sia-sia itu?
Rakannya menjawab: "Kata orang, ini akan membawa tuah kepada aku jika merakam gambar tersebut." Bagi aku, pernah juga terfikir apa sebablah beberapa kawan aku ini merakam gambar yang bukan-bukan seperti gambar kasut yang sedang dipakainya? Apa-apa pun, setiap orang mesti ada sebabnya yang tersendiri, bukan?
- Kenapa kamu mematikan alarm jam itu dan kemudiannya menyambung semula tidur?
Aku rasa kebanyakan orang ada tabiat begini termasuklah aku sendiri. Dan jawapan rakannya adalah seperti berikut: "Adalah sesuatu yang enak apabila bangun dan kemudiannya menyambung semula tidur untuk beberapa minit lagi (mungkin kerana masih lagi belum masuk waktu kerja atau kelas)." Tapi yang kelakarnya, aku pula kebiasaannya akan bangun beberapa saat atau beberapa minit sebelum alarm berbunyi seperti watak Shikamaru dalam komik Naruto (falsafah hidup dia juga secara kebetulan adalah sama dengan aku).
Sebenarnya kalau nak diikutkan masih banyak lagi persoalan atau curiosity yang ditimbulkan. Tetapi, aku cuma dapat menampilkan beberapa sahaja kerana itu adalah setakat episod 7 yang telah ditonton dan drama ini pula masih lagi ditayangkan di Jepun mungkin sehingga episod 11 untuk pengakhirannya. Akhir kata, aku percaya bahawa setiap orang memang dilahirkan dengan curiosity yang tinggi kerana sifat normal manusia akan bertanya kenapa begitu dan kenapa begini bagi sesuatu yang tidak difahami.
* Kerana drama ini jugalah membuatkan aku terdetik untuk menonton filem Kramer Vs. Kramer (dihasilkan pada tahun 1979).
|
:P
ps: sometimes curiosity kills.
3/04/2009 1:47 PM